Dia yang bernama perempuan. Bila mana usianya meningkat, ilmu dan iman di dada turut seiring meningkat, maka di situlah seorang serikandi mukminah terbentuk…
Dunia semakin sakit bila perempuannya hanya sihat di mata dan fizikal, namun hatinya sakit dan degupan jantung perlahan minta basuhan iman dan taqwa…
Solatnya telah semakin kering dan gersang sekadar pergerakan turun naik…tanpa khusyuk dan tawaddhuk…
Qur’annya, mungkin bacaannya dalam solat itulah sahaja…
Auratnya dan penampilannya bukan lagi sebagai ibadat dalam mematuhi syariat Ilahi namun semakin tertanggal, semakin nipis, semakin sedikit, semakin jarang dan pendek kainnya untuk mempamerkan kecantikan kepada orang atau sekadar kepuasan nafsu sendiri…
Senyuman dan kata-kata manis manja telah melimpah ruah buat lelaki yang disangka telah menjadi miliknya…
Ilmu Qur’an, ilmu hadis, ilmu fiqh, ilmu usuluddin, tasawwuf, tauhid, ibadah…yang mana satu dikuasainya? Dia hanya tahu bersosial dengan segenap lapisan masyarakat, hanya tahu menyampai sedikit-sedikit ilmu yang diperolehi melalui majlis-majlis ilmu yang dihadiri dua jam dari beratus-ratus jam seminggu…
Jiwanya tidak terbentuk apatah lagi ingin membentuk jiwa-jiwa yang lain.Dia tidak menguatkan iman saudara-saudara lelaki, dia melemahkan, malah membuka jalan kepada terhakisnya iman…
Dia ingin berkahwin, namun sejauh mana penghayatan bahawa pernikahan bukan sekadar penyatu dua hati, dua raga, dalam ikatan halal, tetapi adalah amanah berat sebagai yang bakal melahirkan generasi soleh untuk memakmurkan bumi dengan ajaran Allah…
Bagaimana dia ingin mengajar anak-anak erti kehidupan bila kehidupannya sendiri hanya secebis pergantungan pada Pencipta. Pergantungannya lebih pada manusia yang dicintai, pada insan-insan yang mengelilingi hidupnya, bukan pada tahajjud yang menghidupkan hati. Menyeluruh warna kehidupan tidak mampu ditafsir jika tilawah dan zikrullah hanya bila kesusahan melanda…alpa bila kegembiraan hadir…
Hati yang kelabu berisi cinta terlarang, iman yang kontang dari cahaya, peribadi terserlah megikut nafsu dan pujukan dunia serta syaitan durjana, ilmu hanya setitis, kesabaran hanya secebis, akal tidal panjang…
Layakkah mendamba keluarga acuan Al-Qur’an…?
Dia masih di situ. Termanggu mencari harga diri. Seorang dia mengintai-intai kesilapan, masih tidak megenal diri yang menyebabkan dia diperdaya kehidupan yang sementara. Ketakutan dan kegusaran silih berganti dengan ketenangan dan ketenteraman yang cuba mencelah…
Insaflah wahai seorang yang bernama perempuan…


No comments:
Post a Comment